Tuesday, November 13, 2012

ISU: HUTAN DAN KOMUNITI LUNDAYEH DI ULU PADAS, SABAH

                                                                     Penulis: 
Benedict Au; Azizul Abdin; Christie Roy Majuni; Fadzizah Ismail; Jamie Valiant Ng; & Kelie Noyet


1.0 Pengenalan
Secara umumnya, komuniti Lundayeh terletak di daerah Ulu Padas Barat Daya Sabah. Komuniti ini dibahagikan kepada dua perkampungan utama iaitu di Long Pasia dan Long Mio. Secara perbandingannya, majoriti komuniti Lundayeh tinggal di kawasan tanah rendah khususnya di daerah Sipitang dan menjalankan kegiatan pertanian pindah namun, penanaman padi juga tidak kurang pentingnya bagi mereka. Kampung yang terdapat di Long Pasia mempunyai penduduk kira-kira 400 orang dan penduduk Long Mio pula hanya berjumlah sekitar 120 orang sahaja. Populasi komuniti Lundayeh di kedua-dua kawasan Long Pasia dan Long Mio sentiasa meningkat setiap tahun dan dijangka terus meningkat sehingga sekarang. Kampung ini terletak pada paras ketinggian 1000m dari paras laut dan diliputi oleh bukit-bukit yang beralun serta gunung-ganang. Sehingga kini, hanya kawasan hutan di Ulu Padas ini yang masih kekal dengan keluasan hutan yang semulajadi sejak dahulu lagi.
Berdasarkan kepada sejarah, mereka menganggap Kerayan iaitu petempatan di kalangan masyarakat Kelabit, Kalimantan sebagai tempat asal usul mereka. Mereka mempercayai bahawa pertemuan di antara negara Kalimantan, Sarawak dan Sabah lebih dari dua abad yang dulu merupakan permulaan berlakunya migrasi masyarakat Lundayeh ke Sabah.

2.0 Kepentingan Hutan terhadap Komuniti Lundayeh
2.1 Ekonomi
Kegiatan ekonomi penduduk Lundayeh banyak bergantung terhadap kawasan persekitaran hutan. Lokasi petempatan masyarakat Lundayeh yang terletak jauh di pedalaman kaya dengan kepelbagaian sumber hutan adalah penting kepada mereka khususnya melalui pembekalan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan pulangan ekonomi sebagai sumber pendapatan, contohnya ubat-ubatan tradisional.
Kegiatan pertanian pindah yang berasaskan padi bukit adalah adat tradisi yang telah mereka amalkan sejak daripada nenek moyang mereka lagi merupakan sebab orang-orang Lundayeh di Ulu Padas sentiasa berpindah- randah membuka satu kawasan hutan yang baru untuk dijadikan kawasan tanaman padi bukit. Pada kebiasaannya, penduduk kampung akan bekerjasama semasa membuka sesebuah kawasan hutan yang baru. Pembukaan hutan ini melibatkan beberapa proses iaitu penebangan pokok hutan, pembersihan dan pembakaran. Kawasan hutan yang telah dibakar amat sesuai sekali untuk penanaman padi bukit kerana mempunyai tanah yang subur. Dengan ini, hasil pertanian padi bukit boleh digunakan untuk keperluan keluarga sendiri, bukan untuk tujuan komersial.
            Selain itu, kawasan hutan juga banyak memberikan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan pulangan yang baik terhadap penduduk setempat. Sumber-sumber hutan yang dimaksudkan adalah hasil hutan yang bukan berasaskan kayu balak atau non-timber forest product ( NTFP ). Antara hasil-hasil hutan tersebut ialah paku-pakis, rotan, dammar, jelutong, buluh dan sebagainya. Hasil-hasil hutan ini dipungut oleh penduduk kampung untuk dijual di pasar-pasar mingguan. Selain menjual produk hutan mentah, penduduk kampung juga boleh mengambil alternatif lain untuk menghasilkan hasil hutan secara kreatif seperti pembuatan kraftangan seperti bakul, beg, tikar dan lain-lain melalui pokok rotan dan buluh. Hasil kraftangan tersebut akan dijual terus di pasar mingguan ataupun dijual kepada pemborong. Namun begitu, penduduk kampung juga akan menggunakan hasil hutan untuk memenuhi keperluan sendiri. Akar-akar kayu misalnya akan digunakan untuk kegunaan sendiri seperti untuk tujuan perubatan secara tradisi. Akar-akar kayu yang digunakan adalah seperti tongkat ali, misai kucing dan sebagainya.

2.2 Sosial - budaya
Bagi masyarakat Lundayeh, hutan mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap budaya mereka. Hutan yang mereka diami merupakan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang sejak turun-temurun. Mereka mendapat hak pewarisan tanah berdasarkan sistem tradisional iaitu mewarisi tanah daripada nenek moyang yang membuka tanah dan bertani sebelum mereka. Komuniti Lundayeh melihat kawasan hutan sebagai tanah warisan nenek moyang dan mereka harus mengekalkan cara hidup mereka sebagai langkah mempertahankan identiti etnik Lundayeh ( Vaz, 2006. pp:137 ). Aktiviti pembalakan secara komersial dan ketiadaan perlindungan dalam pemilikan tanah komuniti menyebabkan cara hidup dan kehidupan orang Lundayeh terancam.

3.0 Isu-isu Perhutanan di Ulu Padas
3.1 Pengklasifikasian Hutan.
Salah satu isu yang telah menyebabkan ketegangan di antara masyarakat tempatan Lundayeh dan kerajaan ialah masalah pengklasifikasian hutan. Situasi ini telah menjadi satu isu penting kerana melibatkan definisi kepentingan hutan di antara kedua-dua pihak tersebut. Bagi komuniti Lundayeh, hutan merupakan suatu kawasan yang paling penting untuk mendapatkan sumber-sumber hutan mereka supaya kehidupan seharian mereka dapat diteruskan. Sumber-sumber yang penting ini ialah untuk tujuan makanan, perubatan, dan bahan-bahan seperti bambu, rotan digunakan untuk membuat barangan seperti kraftangan. Selain itu, kegiatan memburu yang merupakan antara kegiatan utama penduduk Lundayeh juga turut dilakukan dan keadaan ini memperlihatkan sejauhmanakah kepentingan hutan di kalangan komuniti tersebut. Oleh itu, pergantungan hidup terhadap hutan di kalangan komuniti Lundayeh tidak dapat dinafikan kerana kepentingan hutan mencerminkan identiti komuniti tersebut dan sebagai kawasan pergantungan ekonomi untuk meneruskan kehidupan.
            Klasifikasi hutan ini berbeza jika dibandingkan dengan perspektif kerajaan. Kerajaan melihat hutan sebagai kawasan dan sumber-sumber yang terdapat di dalamnya sebagai alasan untuk menjana ekonomi negara. Situasi ini dapat dilihat melalui kegiatan-kegiatan pembalakan yang dijalankan semata-mata untuk tujuan eksport dan untuk memenuhi keperluan sumber-sumber negara supaya pembangunan dapat dijalankan secara menyeluruh. Keadaan ini boleh dijelaskan apabila kerajaan cuma menyediakan tanah seluas 12,300 hektar kepada masyarakat tempatan dan perlu mendapat hak pemilikan tanah. Manakala, kawasan hutan yang selebihnya di Ulu Padas diklasifikasikan sebagai hutan simpan komersial iaitu seluas 290,000 hektar kawasan hutan tersebut telah dikonsensikan kepada Sabah Forest Indusries. (Justin Vaz, 2006. pp: 139)

3.2 Pembalakan – Sabah Forest Industries (SFI)
Sabah Forest Industries ( SFI ) merupakan entiti kepunyaan Negeri yang diuruskan oleh  majoriti pemegang ekuiti Lion Group Holdings sejak awal tahun 1994 ( Asian Timber, Febuari, 2000).  Hutan Simpan Ulu Padas yang mempunyai keluasan hampir 30,000  hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Baru dalam strategi Pemeliharaan Sabah, telah bergabung dengan Perjanjian Sewa 99 tahun ( 1996 – 2094 ) dengan SFI.
SFI boleh dibahagikan kepada dua kategori :

1)      Industrial Tree Plantations Area
-          Hutan semulajadi ditebang untuk mendapatkan pulpa, kertas dan digantikan dengan spesies yang mempunyai tumbesaran yang cepat.
2)      Natural Forest Management Area
-          Kawasan ini diuruskan untuk penuaian balak yang mapan berdasarkan
kepada garis panduan perhutanan negeri.

SFI merupakan industri utama di kawasan berhampiran pekan Sipitang yang telah memberi peluang pekerjaan lebih 2,000 orang dan berurusan secara langsung dengan beberapa orang kontraktor dan ahli-ahli perniagaan. 
Aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh SFI berhampiran kawasan petempatan orang Lundayeh menyebabkan persekitaran mereka terjejas, iaitu pencemaran Sungai Long Pasia. Kini, sungai tersebut telah menjadi keruh akibat daripada aktiviti pembalakan yang giat dijalankan di kawasan hulu Ulu Padas. Selain itu, bencana alam turut berlaku seperti banjir akibat daripada kegiatan pembalakan. Malah, sumber-sumber hutan juga semakin berkurangan yang selama ini menjadi nadi kehidupan komuniti Lundayeh. Oleh itu, akibat kesan-kesan ini, komuniti Lundayeh telah bertindak-balas terhadap kerajaan dan syarikat-syarikat pembalakan kerana kehidupan mereka telah terancam.

3.3 Isu Pemilikan Tanah
Dalam isu pemilikan tanah di kalangan komuniti Lundayeh di Ulu Padas, Sipitang Sabah, terdapat empat sebab utama yang boleh dikaitkan dalam konflik tersebut. Konflik-konflik tersebut ialah seperti hutan dilihat mempunyai kepentingan kepada pihak kerajaan, sebagai kegiatan pembalakan, isu Tanah Negeri dan faktor dalaman.
Dalam isu pemilikan tanah masyarakat Lundayeh, soal siapa yang harus memiliki tanah adalah sangat penting. Menurut perspektif kerajaan, kira-kira 12,300 hektar tanah telah diperuntukan kepada penduduk tempatan untuk membuat permohonan rasmi bagi mendapatkan geran tanah. Manakala kawasan Ulu Padas yang selebihnya diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan Komersial (Commercial Forest Reserves) dan dalam unit pengurusan hutan  (Forest Management Unit) hampir 290,000 hektar tanah telah dikonsesikan kepada Industri Hutan Sabah (Sabah Forest Industries). Oleh itu, kawasan tanah penduduk kampung yang berada di dalam kawasan tanah kerajaan seperti Hutan Simpan, tidak boleh diberikan geran tanah sewenang-wenangnya sebagai bukti pemilikan yang sah kepada mereka. Oleh itu, ketegangan hubungan wujud di antara komuniti Lundayeh dan kerajaan.
Isu seterusnya melibatkan aktiviti pembalakan yang turut memberi kesan ke atas tanah-tanah milik orang kampung. Hal ini berlaku kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan telah menyebabkan tanah orang kampung (di kawasan hutan) turut diambil. Oleh itu, orang kampung akan kehilangan tanah mereka seterusnya menyebabkan mereka tidak memiliki tanah untuk diusahakan menyebabkan  sumber pendapatan mereka semakin berkurangan. Tambahan pula, sekiranya tanah mereka telah diambil untuk tujuan pembalakan, tuntutan mereka untuk memperolehi geran tanah ke atas tanah tersebut akan menjadi semakin sukar dan permohonan mereka untuk mendapatkan geran tanah akan ditolak oleh pihak kerajaan.
Seterusnya, kewujudan tanah negeri telah menghadkan tanah yang boleh dituntut geran oleh penduduk tempatan dinyatakan dalam Ordinan Tanah Sabah 1930 (Sabah Land Ordinance, 1930). Keadaan ini boleh dijelaskan apabila sesuatu kawasan/tanah yang telah dirizabkan sebagai kawasan Tanah Negeri, tanah tersebut tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan. Oleh itu, untuk memohon pemilikan tanah di kawasan tersebut kebenaran perlu diperolehi daripada pihak kerajaan terlebih dahulu. Namun demikian, permohonan ini selalunya sukar untuk diberi oleh pihak kerajaan melainkan ia melibatkan kepentingan negara. Tambahan pula, permohonan untuk mendapatkan geran tanah oleh penduduk tempatan menimbulkan persoalan terhadap motif kerajaan sebenarnya kerana hak pemilikan tanah tersebut mengambil masa yang sangat lama untuk di proses.
Faktor terakhir yang telah membawa kepada masalah pemilikan tanah disebabkan oleh faktor dalaman, iaitu berlakunya perebutan hak milik tanah di kalangan komuniti Lundayeh itu sendiri. Perebutan tanah ini berlaku di antara penduduk kampung dan mereka yang telah berhijrah ke kawasan bandar. Dalam hal ini, pelbagai strategi telah digunakan oleh mereka untuk membuat tuntutan ke atas pemilikan tanah. Keadaan ini menyebabkan hak pemilikan tanah semakin sukar diselesaikan. Menurut perspektif orang Lundayeh, secara tradisinya, tanah yang telah diusahakan secara turun-temurun diiktiraf sebagai hak milik mereka. Tetapi pandangan ini berbeza dengan masyarakat yang telah berhijrah ke kawasan bandar iaitu orang yang mula-mula sekali membuka kawasan tanah tersebut berhak ke atas pemilikan tanah tersebut. Oleh itu, jelas dapat dilihat perbezaan pandangan ini telah menyebabkan hak pemilikan tanah dan pengeluaran geran tanah sukar dilakukan.   

4.0 Kesimpulan
Secara keseluruhan, hutan merupakan nadi kehidupan bagi komuniti Lundayeh. Bagaimanapun, peranan hutan ini telah berubah disebabkan oleh modenisasi berteraskan kepentingan untuk membangunkan ekonomi negara. Secara tidak lansung, situasi ini memperlihatkan peranan kerajaan untuk memenuhi keperluan negara, telah memberi kesan terhadap komuniti ini iaitu mengganggu kehidupan, budaya dan kegiatan komuniti Lundayeh. Oleh itu, langkah yang sewajarnya harus dilaksanakan seperti pencapaian kata sepakat melalui perundingan supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat difahami.


RUJUKAN                                         
Majid Cooke, Fadzilah. (ed.). 2006. State, Communities and Forests in Contemporary
Borneo. Canberra : Australian National University Press.

No comments: