Tuesday, November 13, 2012

ISU: HUTAN DAN KOMUNITI LUNDAYEH DI ULU PADAS, SABAH

                                                                     Penulis: 
Benedict Au; Azizul Abdin; Christie Roy Majuni; Fadzizah Ismail; Jamie Valiant Ng; & Kelie Noyet


1.0 Pengenalan
Secara umumnya, komuniti Lundayeh terletak di daerah Ulu Padas Barat Daya Sabah. Komuniti ini dibahagikan kepada dua perkampungan utama iaitu di Long Pasia dan Long Mio. Secara perbandingannya, majoriti komuniti Lundayeh tinggal di kawasan tanah rendah khususnya di daerah Sipitang dan menjalankan kegiatan pertanian pindah namun, penanaman padi juga tidak kurang pentingnya bagi mereka. Kampung yang terdapat di Long Pasia mempunyai penduduk kira-kira 400 orang dan penduduk Long Mio pula hanya berjumlah sekitar 120 orang sahaja. Populasi komuniti Lundayeh di kedua-dua kawasan Long Pasia dan Long Mio sentiasa meningkat setiap tahun dan dijangka terus meningkat sehingga sekarang. Kampung ini terletak pada paras ketinggian 1000m dari paras laut dan diliputi oleh bukit-bukit yang beralun serta gunung-ganang. Sehingga kini, hanya kawasan hutan di Ulu Padas ini yang masih kekal dengan keluasan hutan yang semulajadi sejak dahulu lagi.
Berdasarkan kepada sejarah, mereka menganggap Kerayan iaitu petempatan di kalangan masyarakat Kelabit, Kalimantan sebagai tempat asal usul mereka. Mereka mempercayai bahawa pertemuan di antara negara Kalimantan, Sarawak dan Sabah lebih dari dua abad yang dulu merupakan permulaan berlakunya migrasi masyarakat Lundayeh ke Sabah.

2.0 Kepentingan Hutan terhadap Komuniti Lundayeh
2.1 Ekonomi
Kegiatan ekonomi penduduk Lundayeh banyak bergantung terhadap kawasan persekitaran hutan. Lokasi petempatan masyarakat Lundayeh yang terletak jauh di pedalaman kaya dengan kepelbagaian sumber hutan adalah penting kepada mereka khususnya melalui pembekalan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan pulangan ekonomi sebagai sumber pendapatan, contohnya ubat-ubatan tradisional.
Kegiatan pertanian pindah yang berasaskan padi bukit adalah adat tradisi yang telah mereka amalkan sejak daripada nenek moyang mereka lagi merupakan sebab orang-orang Lundayeh di Ulu Padas sentiasa berpindah- randah membuka satu kawasan hutan yang baru untuk dijadikan kawasan tanaman padi bukit. Pada kebiasaannya, penduduk kampung akan bekerjasama semasa membuka sesebuah kawasan hutan yang baru. Pembukaan hutan ini melibatkan beberapa proses iaitu penebangan pokok hutan, pembersihan dan pembakaran. Kawasan hutan yang telah dibakar amat sesuai sekali untuk penanaman padi bukit kerana mempunyai tanah yang subur. Dengan ini, hasil pertanian padi bukit boleh digunakan untuk keperluan keluarga sendiri, bukan untuk tujuan komersial.
            Selain itu, kawasan hutan juga banyak memberikan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan pulangan yang baik terhadap penduduk setempat. Sumber-sumber hutan yang dimaksudkan adalah hasil hutan yang bukan berasaskan kayu balak atau non-timber forest product ( NTFP ). Antara hasil-hasil hutan tersebut ialah paku-pakis, rotan, dammar, jelutong, buluh dan sebagainya. Hasil-hasil hutan ini dipungut oleh penduduk kampung untuk dijual di pasar-pasar mingguan. Selain menjual produk hutan mentah, penduduk kampung juga boleh mengambil alternatif lain untuk menghasilkan hasil hutan secara kreatif seperti pembuatan kraftangan seperti bakul, beg, tikar dan lain-lain melalui pokok rotan dan buluh. Hasil kraftangan tersebut akan dijual terus di pasar mingguan ataupun dijual kepada pemborong. Namun begitu, penduduk kampung juga akan menggunakan hasil hutan untuk memenuhi keperluan sendiri. Akar-akar kayu misalnya akan digunakan untuk kegunaan sendiri seperti untuk tujuan perubatan secara tradisi. Akar-akar kayu yang digunakan adalah seperti tongkat ali, misai kucing dan sebagainya.

2.2 Sosial - budaya
Bagi masyarakat Lundayeh, hutan mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap budaya mereka. Hutan yang mereka diami merupakan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang sejak turun-temurun. Mereka mendapat hak pewarisan tanah berdasarkan sistem tradisional iaitu mewarisi tanah daripada nenek moyang yang membuka tanah dan bertani sebelum mereka. Komuniti Lundayeh melihat kawasan hutan sebagai tanah warisan nenek moyang dan mereka harus mengekalkan cara hidup mereka sebagai langkah mempertahankan identiti etnik Lundayeh ( Vaz, 2006. pp:137 ). Aktiviti pembalakan secara komersial dan ketiadaan perlindungan dalam pemilikan tanah komuniti menyebabkan cara hidup dan kehidupan orang Lundayeh terancam.

3.0 Isu-isu Perhutanan di Ulu Padas
3.1 Pengklasifikasian Hutan.
Salah satu isu yang telah menyebabkan ketegangan di antara masyarakat tempatan Lundayeh dan kerajaan ialah masalah pengklasifikasian hutan. Situasi ini telah menjadi satu isu penting kerana melibatkan definisi kepentingan hutan di antara kedua-dua pihak tersebut. Bagi komuniti Lundayeh, hutan merupakan suatu kawasan yang paling penting untuk mendapatkan sumber-sumber hutan mereka supaya kehidupan seharian mereka dapat diteruskan. Sumber-sumber yang penting ini ialah untuk tujuan makanan, perubatan, dan bahan-bahan seperti bambu, rotan digunakan untuk membuat barangan seperti kraftangan. Selain itu, kegiatan memburu yang merupakan antara kegiatan utama penduduk Lundayeh juga turut dilakukan dan keadaan ini memperlihatkan sejauhmanakah kepentingan hutan di kalangan komuniti tersebut. Oleh itu, pergantungan hidup terhadap hutan di kalangan komuniti Lundayeh tidak dapat dinafikan kerana kepentingan hutan mencerminkan identiti komuniti tersebut dan sebagai kawasan pergantungan ekonomi untuk meneruskan kehidupan.
            Klasifikasi hutan ini berbeza jika dibandingkan dengan perspektif kerajaan. Kerajaan melihat hutan sebagai kawasan dan sumber-sumber yang terdapat di dalamnya sebagai alasan untuk menjana ekonomi negara. Situasi ini dapat dilihat melalui kegiatan-kegiatan pembalakan yang dijalankan semata-mata untuk tujuan eksport dan untuk memenuhi keperluan sumber-sumber negara supaya pembangunan dapat dijalankan secara menyeluruh. Keadaan ini boleh dijelaskan apabila kerajaan cuma menyediakan tanah seluas 12,300 hektar kepada masyarakat tempatan dan perlu mendapat hak pemilikan tanah. Manakala, kawasan hutan yang selebihnya di Ulu Padas diklasifikasikan sebagai hutan simpan komersial iaitu seluas 290,000 hektar kawasan hutan tersebut telah dikonsensikan kepada Sabah Forest Indusries. (Justin Vaz, 2006. pp: 139)

3.2 Pembalakan – Sabah Forest Industries (SFI)
Sabah Forest Industries ( SFI ) merupakan entiti kepunyaan Negeri yang diuruskan oleh  majoriti pemegang ekuiti Lion Group Holdings sejak awal tahun 1994 ( Asian Timber, Febuari, 2000).  Hutan Simpan Ulu Padas yang mempunyai keluasan hampir 30,000  hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Baru dalam strategi Pemeliharaan Sabah, telah bergabung dengan Perjanjian Sewa 99 tahun ( 1996 – 2094 ) dengan SFI.
SFI boleh dibahagikan kepada dua kategori :

1)      Industrial Tree Plantations Area
-          Hutan semulajadi ditebang untuk mendapatkan pulpa, kertas dan digantikan dengan spesies yang mempunyai tumbesaran yang cepat.
2)      Natural Forest Management Area
-          Kawasan ini diuruskan untuk penuaian balak yang mapan berdasarkan
kepada garis panduan perhutanan negeri.

SFI merupakan industri utama di kawasan berhampiran pekan Sipitang yang telah memberi peluang pekerjaan lebih 2,000 orang dan berurusan secara langsung dengan beberapa orang kontraktor dan ahli-ahli perniagaan. 
Aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh SFI berhampiran kawasan petempatan orang Lundayeh menyebabkan persekitaran mereka terjejas, iaitu pencemaran Sungai Long Pasia. Kini, sungai tersebut telah menjadi keruh akibat daripada aktiviti pembalakan yang giat dijalankan di kawasan hulu Ulu Padas. Selain itu, bencana alam turut berlaku seperti banjir akibat daripada kegiatan pembalakan. Malah, sumber-sumber hutan juga semakin berkurangan yang selama ini menjadi nadi kehidupan komuniti Lundayeh. Oleh itu, akibat kesan-kesan ini, komuniti Lundayeh telah bertindak-balas terhadap kerajaan dan syarikat-syarikat pembalakan kerana kehidupan mereka telah terancam.

3.3 Isu Pemilikan Tanah
Dalam isu pemilikan tanah di kalangan komuniti Lundayeh di Ulu Padas, Sipitang Sabah, terdapat empat sebab utama yang boleh dikaitkan dalam konflik tersebut. Konflik-konflik tersebut ialah seperti hutan dilihat mempunyai kepentingan kepada pihak kerajaan, sebagai kegiatan pembalakan, isu Tanah Negeri dan faktor dalaman.
Dalam isu pemilikan tanah masyarakat Lundayeh, soal siapa yang harus memiliki tanah adalah sangat penting. Menurut perspektif kerajaan, kira-kira 12,300 hektar tanah telah diperuntukan kepada penduduk tempatan untuk membuat permohonan rasmi bagi mendapatkan geran tanah. Manakala kawasan Ulu Padas yang selebihnya diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan Komersial (Commercial Forest Reserves) dan dalam unit pengurusan hutan  (Forest Management Unit) hampir 290,000 hektar tanah telah dikonsesikan kepada Industri Hutan Sabah (Sabah Forest Industries). Oleh itu, kawasan tanah penduduk kampung yang berada di dalam kawasan tanah kerajaan seperti Hutan Simpan, tidak boleh diberikan geran tanah sewenang-wenangnya sebagai bukti pemilikan yang sah kepada mereka. Oleh itu, ketegangan hubungan wujud di antara komuniti Lundayeh dan kerajaan.
Isu seterusnya melibatkan aktiviti pembalakan yang turut memberi kesan ke atas tanah-tanah milik orang kampung. Hal ini berlaku kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan telah menyebabkan tanah orang kampung (di kawasan hutan) turut diambil. Oleh itu, orang kampung akan kehilangan tanah mereka seterusnya menyebabkan mereka tidak memiliki tanah untuk diusahakan menyebabkan  sumber pendapatan mereka semakin berkurangan. Tambahan pula, sekiranya tanah mereka telah diambil untuk tujuan pembalakan, tuntutan mereka untuk memperolehi geran tanah ke atas tanah tersebut akan menjadi semakin sukar dan permohonan mereka untuk mendapatkan geran tanah akan ditolak oleh pihak kerajaan.
Seterusnya, kewujudan tanah negeri telah menghadkan tanah yang boleh dituntut geran oleh penduduk tempatan dinyatakan dalam Ordinan Tanah Sabah 1930 (Sabah Land Ordinance, 1930). Keadaan ini boleh dijelaskan apabila sesuatu kawasan/tanah yang telah dirizabkan sebagai kawasan Tanah Negeri, tanah tersebut tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan. Oleh itu, untuk memohon pemilikan tanah di kawasan tersebut kebenaran perlu diperolehi daripada pihak kerajaan terlebih dahulu. Namun demikian, permohonan ini selalunya sukar untuk diberi oleh pihak kerajaan melainkan ia melibatkan kepentingan negara. Tambahan pula, permohonan untuk mendapatkan geran tanah oleh penduduk tempatan menimbulkan persoalan terhadap motif kerajaan sebenarnya kerana hak pemilikan tanah tersebut mengambil masa yang sangat lama untuk di proses.
Faktor terakhir yang telah membawa kepada masalah pemilikan tanah disebabkan oleh faktor dalaman, iaitu berlakunya perebutan hak milik tanah di kalangan komuniti Lundayeh itu sendiri. Perebutan tanah ini berlaku di antara penduduk kampung dan mereka yang telah berhijrah ke kawasan bandar. Dalam hal ini, pelbagai strategi telah digunakan oleh mereka untuk membuat tuntutan ke atas pemilikan tanah. Keadaan ini menyebabkan hak pemilikan tanah semakin sukar diselesaikan. Menurut perspektif orang Lundayeh, secara tradisinya, tanah yang telah diusahakan secara turun-temurun diiktiraf sebagai hak milik mereka. Tetapi pandangan ini berbeza dengan masyarakat yang telah berhijrah ke kawasan bandar iaitu orang yang mula-mula sekali membuka kawasan tanah tersebut berhak ke atas pemilikan tanah tersebut. Oleh itu, jelas dapat dilihat perbezaan pandangan ini telah menyebabkan hak pemilikan tanah dan pengeluaran geran tanah sukar dilakukan.   

4.0 Kesimpulan
Secara keseluruhan, hutan merupakan nadi kehidupan bagi komuniti Lundayeh. Bagaimanapun, peranan hutan ini telah berubah disebabkan oleh modenisasi berteraskan kepentingan untuk membangunkan ekonomi negara. Secara tidak lansung, situasi ini memperlihatkan peranan kerajaan untuk memenuhi keperluan negara, telah memberi kesan terhadap komuniti ini iaitu mengganggu kehidupan, budaya dan kegiatan komuniti Lundayeh. Oleh itu, langkah yang sewajarnya harus dilaksanakan seperti pencapaian kata sepakat melalui perundingan supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat difahami.


RUJUKAN                                         
Majid Cooke, Fadzilah. (ed.). 2006. State, Communities and Forests in Contemporary
Borneo. Canberra : Australian National University Press.

ISU PEMBANGUNAN ALAM SEKITAR

Penulis: Benedict Au
SEJAUH MANAKAH FAKTOR-FAKTOR LUAR MEMBERI KESAN TERHADAP PERUBAHAN SISTEM PEMILIKAN TANAH WARISAN BUMIPUTERA DI SABAH?

Perkembangan kemajuan yang berlaku secara mendadak akibat modenisasi telah memberikan impak yang agak besar khususnya terhadap negara kita Malaysia. Menurut W. W. Rostow konsep Modenisasi melibatkan pembangunan ekonomi yang membawa kepada perindustrian, teknologi yang tinggi dan penggunaan banyak barang-barang berteknologi serta perkhidmatan secara meluas (Willis. 2005 : 2-5). Modenisasi di negara ini dapat dilihat melalui perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap pengurusan dan pengawalan hutan yang bertujuan untuk kepentingan-kepentingan kerajaan. Namun begitu, ianya telah memberikan kesan khususnya terhadap perubahan sistem pemilikan tanah warisan bumiputera di Sabah. Dalam esei ini, saya akan membincangkan dua komponen yang amat penting iaitu pertama adalah faktor-faktor luar yang telah memberikan kesan terhadap perubahan sistem pemilikan tanah warisan bumiputera di Sabah. Dalam komponen kedua ini, saya akan membincangkan bagaimana sistem pemilikan tanah warisan bumiputera di Sabah yang lama telah mengalami perubahan akibat daripada pengaruh faktor-faktor luar. Faktor-faktor luar adalah terdiri daripada elemen-elemen luar seperti pengklasifikasian hutan, kepentingan kerajaan, undang-undang atau akta, birokrasi kerajaan, dan pelabur-pelabur luar. Kelima-lima elemen yang dianggap sebagai faktor-faktor luar ini akan cuba dibincangkan kenapa ianya dilihat sangat mempengaruhi perubahan sistem pemilikan tanah warisan bumiputera di Sabah. Manakala bagi kawasan tanah milik bumiputera di Sabah pula adalah menerusi sistem tradisi lama iaitu secara warisan daripada nenek moyang.
Masyarakat bumiputera di Sabah telah mengiktiraf tanah yang mereka diami adalah warisan daripada nenek moyang mereka (Doolittle. 2001 : 82). Kawasan tempat tinggal mereka sebenarnya adalah berdasarkan sistem warisan yang mana setiap kawasan hutan yang telah dibuka dan dibersihkan dianggap sebagai milik keluarga mereka. Oleh itu, mereka telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti memungut hasil hutan dan juga menjalankan kegiatan pertanian. Beberapa kaedah telah digunakan untuk membuka kawasan pertanian dan penempatan seperti menebang pokok-pokok, membersihkan dan seterusnya membakar kawasan hutan. Hal ini menyebabkan mereka dianggap telah memusnahkan habitat hutan bagi kepentingan mereka sendiri oleh pihak kerajaan. Pengawalan ini berlaku melalui konsep Political Forest dimana political disini bukanlah bermaksud untuk tujuan parti politik tetapi dari segi kepentingan dan kuasa pengawalan oleh pihak kerajaan (Fadzilah Majid Cooke. 1999 : 105-108).
Dari segi kepentingan, ideologi kerajaan telah menekankan bahawa hutan sebenarnya berkepentingan melalui sumber hasil pembalakan. Kawasan-kawasan hutan yang memiliki sumber kayu balak yang banyak akan dianggap sebagai kawasan kepentingan kerajaan. Bagi penduduk kampung yang memiliki kawasan tanah yang luas tetapi tidak memiliki geran tanah maka tanah tersebut bukan dianggap sebagai hak milik yang sah. Oleh itu, tanah yang tidak bergeran akan dianggap sebagai milik kerajaan dan penduduk kampung tidak berhak terhadap tanah tersebut. Pokok yang ditebang oleh penduduk kampung untuk kegunaan sendiri adalah salah di sisi undang-undang. Hanya syarikat yang mempunyai lesen yang sah sahaja dianggap berhak untuk menjalankan aktiviti pembalakan di hutan. Hal ini berlaku kerana dasar kerajaan yang amat mengambil berat terhadap kepentingan-kepentingannya khususnya kepentingan melalui ekonomi. Pembalakan dilihat sebagai salah satu sumber yang sangat penting boleh menjana ekonomi negara. Dari persepsi Scientific Forestry pula menganggap bahawa hanya mereka yang profesional yang mengguna sistem sains sahaja layak untuk menguruskan hutan. (Fadzilah Majid Cooke. 1999 : 117-118). Sebagai contoh Jabatan Perhutanan amat menitik beratkan tentang pengurusan hutan secara mampan. Oleh itu, hanya pihak-pihak yang boleh menggunakan kaedah sains sahaja yang dianggap layak menggunakan hutan kerana mereka boleh mengawal dan mengurus hutan secara mampan.
Undang-Undang Tanah atau akta juga telah dilaksanakan di Sabah bertujuan untuk mengubah status hutan, contohnya dari status hutan bebas kepada hutan simpan. Isu konflik tanah yang berlaku di Ulu Padas yang melibatkan orang Lun Dayeh dengan pihak kerajaan negeri Sabah adalah disebabkan perubahan status tanah yang dilaksanakan di bawah Ordinan Tanah Sabah 1930 (Vaz. 2006: 141). Kerajaan telah mengiktiraf kawasan Ulu Padas sebagai hutan terpelihara dan oleh itu, pemilikan tanah oleh orang Lun Dayeh tidak dianggap sah di sisi undang-undang. Tanah mereka hanya akan diiktiraf sah sekiranya mereka mempunyai geran tanah atau Native Title di bawah Ordinan Tanah Sabah 1930 dan bukannya berdasarkan kepada pewarisan daripada nenek moyang mereka. Hal ini menyebabkan hak milik tanah tersebut telah bertukar daripada hak milik kampung atau persendirian kepada hak milik kerajaaan. Apabila hal ini berlaku, segala aktiviti harian orang Lun Dayeh yang biasa dilakukan di kawasan hutan tersebut akan terhalang dengan serta merta.
            Selain itu, pengklasifikasian hutan juga telah dilakukan oleh kerajaan bagi mengiktiraf sesebuah kawasan hutan sebagai hutan terpelihara. Bagi kawasan hutan yang telah diiktiraf, kawasan hutan tersebut dengan serta merta terlindung dari sebarang kegiatan pencerobohan dibawah undang-undang yang telah dibuat oleh pihak kerajaan. Kawasan hutan itu juga akan dibuat penyempadanan dan hal ini memyebabkan tanah tersebut akan dibahagi-bahagikan kepada beberapa sempadan yang tertentu. Tujuan penyempadanan ini dibuat adalah untuk memastikan setiap kawasan akan terkawal dengan sesuatu penyempadanan yang terancang (Fadzilah Majid Cooke. 1999: 105-108). Selain penyempadanan, perlembagaan hutan simpan juga telah digubal oleh kerajaan untuk memastikan setiap hutan simpan tersebut akan dapat dikawal dengan lebih teliti. Di Sabah, biasanya banyak kawasan-kawasan hutan simpan yang telah diiktiraf oleh kerajaan negeri. Bagi kawasan hutan yang telah diiktiraf sebagai kawasan hutan simpan ini akan sentiasa ditinjau oleh pihak-pihak bertangungjawab mengawal seperti pasukan RELA. Pasukan RELA ini berperanan untuk keluar masuk ke dalam kawasan hutan simpan bagi memastikan tiada sebarang kegiatan penerokaan, kerja-kerja perladangan, pemburuan binatang, dan pemungutan hasil hutan dilakukan oleh penduduk berhampiran. Akibat daripada pengistiharan hutan perlindungan ini, komuniti setempat tidak lagi boleh memasuki kawasan hutan yang dulunya bebas untuk dimasuki bagi tujuan pemungutan hasil hutan dan melakukan aktiviti pertanian.
            Dasar perhutanan kerajaan yang dilaksanakan ini telah menimbulkan banyak kemarahan terhadap penduduk di Sabah. Walaubagaimanapun kerajaan telah mengambil langkah baru dengan melonggarkan status hutan, yang mana penduduk di Sabah boleh memiliki kawasan tanah dengan permohonan geran. Birokrasi kerajaan ini dilihat mampu meredahkan kemarahan penduduk, namun birokrasi kerajaan ini akhirnya telah membangkitkan kembali kemarahan penduduk kerana kelemahan sistem birokrasi ini sendiri. Isu permohonan geran tanah menjadi panas kerana sebahagian besar permohonan penduduk di Sabah tidak diambil berat. Situasi keadaan ini dapat dilihat di Ulu Padas Sabah, dimana permohonan geran tanah yang dilakukan oleh masyarakat Lun Dayeh bagi memastikan kawasan tanah milik mereka menjadi sah melalui status pemilikan geran tanah tidak mendapat layanan yang baik daripada Jabatan Ukur dan Tanah (Vaz. 2006 : 134-147). Permohonan mereka mengambil masa yang terlalu lama untuk disahkan sedangkan kawasan mereka kini telah menjadi kepentingan kerajaan khususnya melalui sektor pembalakan. Selain itu, sistem birokrasi kerajaan yang lemah dan mencetuskan isu konflik juga dapat dilihat di kawasan Tongod, Sandakan. Walaupun penduduk kampung telah memohon hak tanah melalui Native Customary Rights (NCR) sejak pada tahun 2002 lagi tetapi sehingga kini masih belum mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk mengiktiraf hak tanah mereka. (News Sabah Times, 17 February 2007)
Faktor luar seterusnya yang dilihat mampu memberikan kesan terhadap perubahan sistem pemilikan tanah warisan bumiputra di Sabah adalah pelabur-pelabur luar. Pelabur-pelabur luar yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang besar dan kaya akan menggunakan pengaruh kekayaan mereka untuk mengambil hak tanah penduduk kampung. kawasan tanah yang diambil akan diusahakan untuk tujuan pembangunan dan juga pertanian komersial seperti kelapa sawit dan getah. Tindakan pelabur-pelabur ini telah mengakibatkan kemarahan penduduk kampung yang seterusnya melancarkan penentangan untuk melindungi kawasan tanah mereka yang dianggap milik atau hak warisan daripada nenek moyang mereka. Situasi seumpama ini dapat dilihat di kawasan Tongod, Sandakan yang mana kawasan tanah mereka telah dimasuki oleh sebuah syarikat besar untuk tujuan penanaman kelapa sawit. Seramai 3000 penduduk di kawasan Tongod yang melibatkan lima buah kampung seperti Kampung Liu Pampang, Kampung Minusoh, Kampung Namukon, Kampung Maliau dan Kampung Napagang telah menentang untuk mempertahankan kawasan tanah yang telah memberikan mereka tempat tinggal dan sumber pendapatan selama tujuh generasi. Penduduk kampung ini telah merayu makhamah untuk mempercepatkan perlulusan hak mereka yang telah mereka isi di bawah hak tanah adat atau Native Customary Rights (NCR) pada tahun 2002. (News Sabah Times, 17 February 2007)
Akibat daripada tindakan daripada faktor-faktor luar seperti pengklasifikasian, kepentingan kerajaan, undang-undang tanah, birokrasi kerajaan dan pelabur luar terhadap sistem pemilikan tanah warisan bumiputra Sabah telah memberikan banyak perubahan. Kesan perubahan yang pertama dapat dilihat adalah perubahan daripada pemilikan tanah warisan daripada nenek moyang kepada tanah kerajaan dan kerajaan telah mentakrifkan tanah yang diambil milik sebagai Native Reserve. Orang kampung telah dibahagikan kepada dua kategori jenis tanah iaitu Tanah Kampung (village land) dan Hutan Simpan (forest reserve) Tanah Kampung adalah kawasan Native Reserve yang mana penduduk kampung boleh menbina rumah, berkebun, menternak, menanam pokok buah-buahan dan menbina kolam ternak ikan. Manakana Hutan Simpan pula adalah kawasan hutan yang telah ditakrifkan oleh kerajaan sebagai kawasan hutan yang terlindung daripada sebarang kegiatan aktiviti penduduk kampung yang dianggap boleh memusnahkan kawasan hutan simpan. Oleh itu, konflik sering kali berlaku di kalangan penduduk kampung kerana kepentingan kawasan tanah yang terhad untuk sebarang kegiatan aktiviti mereka khususnya ekonomi. (Doolittle. 2001 : 81-82)
Akibat daripada perubahan pemilikan kawasan tanah juga telah menyebabkan tradisi lama mereka telah mengalami perubahan. Semasa mengamalkan tradisi lama, tanah akan diwariskan kepada keluarga atau keturunannya dan keluarga yang memiliki kawsan tanah ini juga boleh menjual tanah mereka kepada orang lain sekiranya keluarga ini memerlukan wang tunai (cash). Penggunaan tanah sesebuah keluarga juga boleh digunakan oleh sanak-saudara ataupun jiran yang memerlukan tanah untuk diusahakan melalui meminjam kawasan tanah yang kosong. Selain itu, sanak-saudara ataupun jiran yang meminjam kawasan tanah yang kosong untuk diusahakan juga boleh memungut produk atau sumber asli yang tumbuh secara semulajadi seperti rotan, pokok buluh, paku-pakis, buah-buah hutan dan lain-lain. Namun jika kawasan tanah yang dibiarkan kosong dan tidak diusahakan oleh tuan tanah dalam jangka masa yang panjang dan telah diusahakan oleh orang lain, maka status pemilikan tanah tersebut bukan lagi miliknya serta tanah itu dianggap sebagai Tanah Kampung.
Jika dahulunya penduduk kampung mengamalkan sistem pertanian sara diri namun kini mereka telah beralih kepada sistem pertanian secara komersial. Penduduk kampung yang telah mendapatkan hak tanah mereka melalui permohonan geran akan terus mengusahakan kawasan tanah mereka dengan aktiviti pertanian. Permodenan yang telah masuk secara mendadak dan juga permintaan sayur-sayuran yang tinggi juga telah mengubah sistem pertanian penduduk kampung daripada pertanian pindah kepada pertanian komersial berasaskan sayur-sayuran. Permodenan telah mencetuskan Revolusi Hijau yang mampu memberikan peningkatan pertanian secara mendadak melalui penggunaan bahan teknologi tinggi terhadap pertanian. Revolusi Hijau bermaksud penggunaan bahan-bahan yang berteknologi tinggi seperti racun serangga, mesin tuai dan benih bermutu  terhadap pertanian (McMichael, P. 2000 : 68-70). Oleh itu, penduduk kampung telah meningkatkan pertanian mereka dengan menggunakan bahan-bahan berteknologi tinggi dalam sistem pertanian mereka. Selain itu, hak komuniti (useright) untuk masuk ke tanah kampung tidak lagi disebut sebagai hak kerana tuan tanah telah menitik beratkan peningkatan pertanian sayur komersial secara intensif menyebabkan sesetengah tanah diusahakan secara berkekalan, maka orang lain tidak dapat masuk untuk mengusahakan tanah tersebut. Penggunaan tanah secara berkekalan untuk pertanian sayuran komersial juga telah menggurangkan kawasan tanah yang kosong. Namun, walaupun sekarang banyak tanah terbiar berbanding dulu tetapi apabila seseorang petani atau tuan tanah memutuskan untuk menggunakan tanah terbiar itu sebagai satu kawasan pertanian kekal, maka secara serta merta menjadiakn kawasan tanah itu sebagai milik persendirian. Selain itu, tidak terdapat persetujuan berapa besar sesebuah keluarga boleh mengusahakan kawasan tanah untuk memenuhi keperluan asas. Keluarga yang lebih kaya akan mengupah pekerja untuk membantu mereka bagi mengekalkan tanah mereka sentiasa diusahakan serta mengurangkan kawasan tanah yang terbiar. Situasi ini dapat dilihat di banyak kawasan tempat di Sabah khususnya di kawasan Kundasang, yang mana tuan tanah akan mengusahakan kawasan tanah mereka dengan dibantu oleh para pekerja yang diupah. Sekiranya terdapat jiran atau atau orang lain yang ingin mengusahakan tanah, tuan tanah masih mengizinkannya namun sebagai balasannya tuan tanah mahukan sedikit hasil sebagai balasan daripada penggunaan tanahnya dan biasanya 1/3 adalah jumlah yang diminta hasil daripada tanaman tersebut. (Doolittle. 2001 : 85-86)
Selain itu, perubahan sistem pemilikan tanah warisan ini juga telah menyebabkan sistem tardisi lama penduduk kampung iaitu pemungutan hasil hutan atau non-timber forest product (NTFP) juga telah berubah.  Menurut adat tradisi, penduduk kampung boleh keluar masuk hutan untuk menjalankan aktiviti seperti memburu, mengumpul hasil semulajadi hutan, dan sebagainya. Namun kini penduduk kampung tidak lagi bebas untuk keluar masuk ke dalam hutan kerana tindakan kerajaan yang telah mengambil milik kawasan tanah meraka yang dianggap tidak sah. Penduduk kampung hanya boleh menjalankan kegiatan seharian mereka di tempat kawasan tanah kampung yang terbatas. Sedikit kecil pendapatan mereka yang dahulunya diperolehi daripada non-timber forest product (NTFP) kini telah hilang kerana mereka tidak lagi dapat masuk ke dalam kawasan hutan yang telah dilindungi oleh kerajaan melalui Hutan Simpan. Sebelum ini, penduduk akan memungut hasil hutan seperti paku-pakis, rotan, damar, jelutong, buah-buah hutan dan sebagainya untuk dijual ke pasar-pasar minggu dan mereka mendapat wang hasil daripada jualan mereka. Selain hasil semulajadi yang dipungut dijual secara mentah, penduduk juga akan menghasilkan produk baru melalui hasil hutan. Sebagai contoh kayu rotan diambil untuk dijadikan bahan kfartangan seperti bakul, beg, dan lain-lain. (Fadzilah Majid Cooke. 1999 : 116-118).  Namun kini, kegiatan mereka seumpama itu tidak lagi wujud kerana kerajaan menganggap perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang.
            Secara kesimpulannya, faktor-faktor luar seperti pengklasifikasian hutan, kepentingan kerajaan, undang-undang atau akta, birokrasi kerajaan, dan pelabur-pelabur luar telah memberikan kesan terhadap perubahan sistem pemilikan tanah warisan bumiputera di Sabah. Akibat daripada kelima-lima faktor luar ini telah menyebabkan banyak perubahan yang berlaku terhadap sistem pemilikan tanah dan juga terhadap kegiatan ekonomi penduduk bumiputera Sabah. Dapat dilihat juga bahawa banyak konflik yang berlaku di Sabah kerana penduduk kawasan yang terlibat ingin mempertahankan kawasan tanah yang telah mereka diami sejak daripada nenek moyang mereka lagi daripada diambil alih khususnya melalui faktor-faktor luar yang telah dibincangkan.

Rujukan

Doolittle, Amity. 2001. From Village Land to “Native Reserve” : Changes in Property
Rights in Sabah, Malaysia, 1950-1996. Human Ecology 29 ( 1 ).

Jomo, K. S. et al. 2004. Deforesting Malaysia, the Political Economy and Social
Ecology of Agriculture and Commercial Logging. London and New
York : Zed Books.

Majid Cooke, Fadzilah. 1999. Forests, Protest Movements and Struggle Over Meaning
and Identity in Sarawak. Akademika 55 : pp. 105-130.

McMichael, P. 2000. Development and Social Change. Thousand Oaks, Pine Forge,
Ca.

Vas, Justine. 2006. Seeking Spaces for Biodiversity in Improving Tenure Security for
Local Communities in Sabah ? In : State Communities and Forests in Contemporary Borneo. Australian National University Press : Canberra.

Willis, Katie. 2005. Theories and Practices of Development. Routledge : New York.

Newspapers

­­­­­­News Sabah Times. 2007. Save Our Ancestral Land, 3000
Villagers Urge Govt.