Benedict Au; Azizul Abdin; Christie Roy Majuni; Fadzizah Ismail; Jamie Valiant Ng; & Kelie Noyet
1.0 Pengenalan
Secara umumnya, komuniti Lundayeh terletak di daerah Ulu Padas Barat
Daya Sabah. Komuniti ini dibahagikan kepada dua perkampungan utama iaitu di
Long Pasia dan Long Mio. Secara perbandingannya, majoriti komuniti Lundayeh
tinggal di kawasan tanah rendah khususnya di daerah Sipitang dan menjalankan
kegiatan pertanian pindah namun, penanaman padi juga tidak kurang pentingnya
bagi mereka. Kampung yang terdapat di Long Pasia mempunyai penduduk kira-kira
400 orang dan penduduk Long Mio pula hanya berjumlah sekitar 120 orang sahaja.
Populasi komuniti Lundayeh di kedua-dua kawasan Long Pasia dan Long Mio
sentiasa meningkat setiap tahun dan dijangka terus meningkat sehingga sekarang.
Kampung ini terletak pada paras ketinggian 1000m dari paras laut dan diliputi
oleh bukit-bukit yang beralun serta gunung-ganang. Sehingga kini, hanya kawasan
hutan di Ulu Padas ini yang masih kekal dengan keluasan hutan yang semulajadi
sejak dahulu lagi.
Berdasarkan kepada sejarah, mereka menganggap Kerayan
iaitu petempatan di kalangan masyarakat Kelabit, Kalimantan
sebagai tempat asal usul mereka. Mereka mempercayai bahawa pertemuan di antara negara
Kalimantan, Sarawak dan Sabah lebih dari dua abad yang dulu merupakan permulaan
berlakunya migrasi masyarakat Lundayeh ke Sabah .
2.0 Kepentingan Hutan
terhadap Komuniti Lundayeh
2.1 Ekonomi
Kegiatan ekonomi penduduk Lundayeh banyak bergantung terhadap
kawasan persekitaran hutan. Lokasi petempatan masyarakat Lundayeh yang terletak
jauh di pedalaman kaya dengan kepelbagaian sumber hutan adalah penting kepada
mereka khususnya melalui pembekalan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan
pulangan ekonomi sebagai sumber pendapatan, contohnya ubat-ubatan tradisional.
Kegiatan pertanian pindah yang berasaskan padi bukit
adalah adat tradisi yang telah mereka amalkan sejak daripada nenek moyang
mereka lagi merupakan sebab orang-orang Lundayeh di Ulu Padas sentiasa
berpindah- randah membuka satu kawasan hutan yang baru untuk dijadikan kawasan
tanaman padi bukit. Pada kebiasaannya, penduduk kampung akan bekerjasama semasa
membuka sesebuah kawasan hutan yang baru. Pembukaan hutan ini melibatkan
beberapa proses iaitu penebangan pokok hutan, pembersihan dan pembakaran.
Kawasan hutan yang telah dibakar amat sesuai sekali untuk penanaman padi bukit
kerana mempunyai tanah yang subur. Dengan ini, hasil pertanian padi bukit boleh
digunakan untuk keperluan keluarga sendiri, bukan untuk tujuan komersial.
Selain itu, kawasan
hutan juga banyak memberikan sumber-sumber hutan yang mampu memberikan pulangan
yang baik terhadap penduduk setempat. Sumber-sumber hutan yang dimaksudkan
adalah hasil hutan yang bukan berasaskan kayu balak atau non-timber forest product ( NTFP ). Antara hasil-hasil hutan
tersebut ialah paku-pakis, rotan, dammar, jelutong, buluh dan sebagainya.
Hasil-hasil hutan ini dipungut oleh penduduk kampung untuk dijual di
pasar-pasar mingguan. Selain menjual produk hutan mentah, penduduk kampung juga
boleh mengambil alternatif lain untuk menghasilkan hasil hutan secara kreatif seperti
pembuatan kraftangan seperti bakul, beg, tikar dan lain-lain melalui pokok
rotan dan buluh. Hasil kraftangan tersebut akan dijual terus di pasar mingguan
ataupun dijual kepada pemborong. Namun begitu, penduduk kampung juga akan
menggunakan hasil hutan untuk memenuhi keperluan sendiri. Akar-akar kayu
misalnya akan digunakan untuk kegunaan sendiri seperti untuk tujuan perubatan
secara tradisi. Akar-akar kayu yang digunakan adalah seperti tongkat ali, misai
kucing dan sebagainya.
2.2 Sosial - budaya
Bagi masyarakat Lundayeh, hutan mempunyai pengaruh yang sangat
penting terhadap budaya mereka. Hutan yang mereka diami merupakan tanah yang
diwarisi daripada nenek moyang sejak turun-temurun. Mereka mendapat hak
pewarisan tanah berdasarkan sistem tradisional iaitu mewarisi tanah daripada
nenek moyang yang membuka tanah dan bertani sebelum mereka. Komuniti Lundayeh
melihat kawasan hutan sebagai tanah warisan nenek moyang dan mereka harus
mengekalkan cara hidup mereka sebagai langkah mempertahankan identiti etnik
Lundayeh ( Vaz, 2006. pp:137 ). Aktiviti pembalakan secara komersial dan
ketiadaan perlindungan dalam pemilikan tanah komuniti menyebabkan cara hidup
dan kehidupan orang Lundayeh terancam.
3.0 Isu-isu Perhutanan di Ulu Padas
3.1 Pengklasifikasian Hutan.
Salah satu isu yang telah menyebabkan ketegangan
di antara masyarakat tempatan Lundayeh dan kerajaan ialah masalah
pengklasifikasian hutan. Situasi ini telah menjadi satu isu penting kerana
melibatkan definisi kepentingan hutan di antara kedua-dua pihak tersebut. Bagi komuniti
Lundayeh, hutan merupakan suatu kawasan yang paling penting untuk mendapatkan
sumber-sumber hutan mereka supaya kehidupan seharian mereka dapat diteruskan.
Sumber-sumber yang penting ini ialah untuk tujuan makanan, perubatan, dan
bahan-bahan seperti bambu, rotan digunakan untuk membuat barangan seperti
kraftangan. Selain itu, kegiatan memburu yang merupakan antara kegiatan utama
penduduk Lundayeh juga turut dilakukan dan keadaan ini memperlihatkan
sejauhmanakah kepentingan hutan di kalangan komuniti tersebut. Oleh itu,
pergantungan hidup terhadap hutan di kalangan komuniti Lundayeh tidak dapat
dinafikan kerana kepentingan hutan mencerminkan identiti komuniti tersebut dan sebagai
kawasan pergantungan ekonomi untuk meneruskan kehidupan.
Klasifikasi hutan ini berbeza jika
dibandingkan dengan perspektif kerajaan. Kerajaan melihat hutan sebagai kawasan
dan sumber-sumber yang terdapat di dalamnya sebagai alasan untuk menjana
ekonomi negara. Situasi ini dapat dilihat melalui kegiatan-kegiatan pembalakan
yang dijalankan semata-mata untuk tujuan eksport dan untuk memenuhi keperluan sumber-sumber
negara supaya pembangunan dapat dijalankan secara menyeluruh. Keadaan ini boleh
dijelaskan apabila kerajaan cuma menyediakan tanah seluas 12,300 hektar kepada
masyarakat tempatan dan perlu mendapat hak pemilikan tanah. Manakala, kawasan
hutan yang selebihnya di Ulu Padas diklasifikasikan sebagai hutan simpan
komersial iaitu seluas 290,000 hektar kawasan hutan tersebut telah
dikonsensikan kepada Sabah Forest Indusries.
(Justin Vaz, 2006. pp: 139)
3.2 Pembalakan – Sabah Forest Industries (SFI)
Sabah Forest Industries ( SFI ) merupakan entiti
kepunyaan Negeri yang diuruskan oleh
majoriti pemegang ekuiti Lion Group Holdings sejak awal tahun 1994 (
Asian Timber, Febuari, 2000). Hutan
Simpan Ulu Padas yang mempunyai keluasan hampir 30,000 hektar telah diwartakan sebagai Kawasan
Perlindungan Baru dalam strategi Pemeliharaan Sabah, telah bergabung dengan
Perjanjian Sewa 99 tahun ( 1996 – 2094 ) dengan SFI.
SFI boleh dibahagikan kepada dua kategori :
1) Industrial Tree Plantations
Area
-
Hutan semulajadi ditebang untuk
mendapatkan pulpa, kertas dan digantikan dengan spesies yang mempunyai
tumbesaran yang cepat.
2) Natural Forest Management Area
-
Kawasan ini diuruskan untuk
penuaian balak yang mapan berdasarkan
kepada garis panduan perhutanan
negeri.
SFI merupakan industri utama di kawasan berhampiran pekan Sipitang
yang telah memberi peluang pekerjaan lebih 2,000 orang dan berurusan secara
langsung dengan beberapa orang kontraktor dan ahli-ahli perniagaan.
Aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh SFI berhampiran
kawasan petempatan orang Lundayeh menyebabkan persekitaran mereka terjejas,
iaitu pencemaran Sungai Long Pasia. Kini, sungai tersebut telah menjadi keruh
akibat daripada aktiviti pembalakan yang giat dijalankan di kawasan hulu Ulu
Padas. Selain itu, bencana alam turut berlaku seperti banjir akibat daripada
kegiatan pembalakan. Malah, sumber-sumber hutan juga semakin berkurangan yang
selama ini menjadi nadi kehidupan komuniti Lundayeh. Oleh itu, akibat
kesan-kesan ini, komuniti Lundayeh telah bertindak-balas terhadap kerajaan dan
syarikat-syarikat pembalakan kerana kehidupan mereka telah terancam.
3.3 Isu Pemilikan Tanah
Dalam isu pemilikan tanah di kalangan komuniti Lundayeh di Ulu
Padas, Sipitang Sabah, terdapat empat sebab utama yang boleh dikaitkan dalam
konflik tersebut. Konflik-konflik tersebut ialah seperti hutan dilihat
mempunyai kepentingan kepada pihak kerajaan, sebagai kegiatan pembalakan, isu
Tanah Negeri dan faktor dalaman.
Dalam isu pemilikan tanah masyarakat Lundayeh, soal
siapa yang harus memiliki tanah adalah sangat penting. Menurut perspektif kerajaan,
kira-kira 12,300 hektar tanah telah diperuntukan kepada penduduk tempatan untuk
membuat permohonan rasmi bagi mendapatkan geran tanah. Manakala kawasan Ulu
Padas yang selebihnya diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan Komersial (Commercial
Forest Reserves) dan dalam unit pengurusan hutan (Forest Management Unit) hampir 290,000
hektar tanah telah dikonsesikan kepada Industri Hutan Sabah (Sabah Forest
Industries). Oleh itu,
kawasan tanah penduduk kampung yang berada di dalam kawasan tanah kerajaan
seperti Hutan Simpan, tidak boleh diberikan geran tanah sewenang-wenangnya
sebagai bukti pemilikan yang sah kepada mereka. Oleh itu, ketegangan hubungan
wujud di antara komuniti Lundayeh dan kerajaan.
Isu seterusnya melibatkan
aktiviti pembalakan yang turut memberi kesan ke atas tanah-tanah milik orang
kampung. Hal ini berlaku kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan telah
menyebabkan tanah orang kampung (di kawasan hutan) turut diambil. Oleh itu,
orang kampung akan kehilangan tanah mereka seterusnya menyebabkan mereka tidak
memiliki tanah untuk diusahakan menyebabkan
sumber pendapatan mereka semakin berkurangan. Tambahan pula, sekiranya
tanah mereka telah diambil untuk tujuan pembalakan, tuntutan mereka untuk
memperolehi geran tanah ke atas tanah tersebut akan menjadi semakin sukar dan permohonan
mereka untuk mendapatkan geran tanah akan ditolak oleh pihak kerajaan.
Seterusnya, kewujudan tanah
negeri telah menghadkan tanah yang boleh dituntut geran oleh penduduk tempatan
dinyatakan dalam Ordinan Tanah Sabah 1930 (Sabah Land Ordinance, 1930). Keadaan
ini boleh dijelaskan apabila sesuatu kawasan/tanah yang telah dirizabkan
sebagai kawasan Tanah Negeri, tanah tersebut tidak boleh diganggu oleh
mana-mana pihak tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan. Oleh itu, untuk
memohon pemilikan tanah di kawasan tersebut kebenaran perlu diperolehi daripada
pihak kerajaan terlebih dahulu. Namun demikian, permohonan ini selalunya sukar
untuk diberi oleh pihak kerajaan melainkan ia melibatkan kepentingan negara.
Tambahan pula, permohonan untuk mendapatkan geran tanah oleh penduduk tempatan
menimbulkan persoalan terhadap motif kerajaan sebenarnya kerana hak pemilikan
tanah tersebut mengambil masa yang sangat lama untuk di proses.
Faktor terakhir yang telah
membawa kepada masalah pemilikan tanah disebabkan oleh faktor dalaman, iaitu
berlakunya perebutan hak milik tanah di kalangan komuniti Lundayeh itu sendiri.
Perebutan tanah ini berlaku di antara penduduk kampung dan mereka yang telah
berhijrah ke kawasan bandar. Dalam hal ini, pelbagai
strategi telah digunakan oleh mereka untuk membuat tuntutan ke atas pemilikan
tanah. Keadaan ini menyebabkan hak pemilikan tanah semakin sukar diselesaikan.
Menurut perspektif orang Lundayeh, secara tradisinya, tanah yang telah
diusahakan secara turun-temurun diiktiraf sebagai hak milik mereka. Tetapi
pandangan ini berbeza dengan masyarakat yang telah berhijrah ke kawasan bandar
iaitu orang yang mula-mula sekali membuka kawasan tanah tersebut berhak ke atas
pemilikan tanah tersebut. Oleh itu, jelas dapat dilihat perbezaan pandangan ini
telah menyebabkan hak pemilikan tanah dan pengeluaran geran tanah sukar
dilakukan.
4.0 Kesimpulan
Secara keseluruhan, hutan merupakan nadi kehidupan bagi komuniti
Lundayeh. Bagaimanapun, peranan hutan ini telah berubah disebabkan oleh
modenisasi berteraskan kepentingan untuk membangunkan ekonomi negara. Secara
tidak lansung, situasi ini memperlihatkan peranan kerajaan untuk memenuhi
keperluan negara, telah memberi kesan terhadap komuniti ini iaitu mengganggu
kehidupan, budaya dan kegiatan komuniti Lundayeh. Oleh itu, langkah yang
sewajarnya harus dilaksanakan seperti pencapaian kata sepakat melalui
perundingan supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat difahami.
RUJUKAN
Majid Cooke,
Fadzilah. (ed.). 2006.
State , Communities and Forests in Contemporary